Selasa, 10 April 2012

RINGKASAN RIWAYAT HIDUP 4 IMAM MAZHAB (IMAM SYAFII)



Imam Muhammad bin Idris as-Syafi’e [150H/767M – 204H/820M]

Imam as-Syafi’e lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M. Nama sebenarnya

ialah Muhammad bin Idris as-Syafi‘e. Beliau mempunyai pertalian darah Quraisy dan
hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun ibunya membawanya ke
Makkah untuk menunaikan ibadah Haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana

untuk menuntut ilmu. Di Makkah Imam as-Syafi’e memulakan perguruannya dengan

Muslim bin Khalid al-Zanji, yakni mufti Kota Makkah ketika itu.  



Kitab ilmu yang paling terkemuka pada ketika itu ialah al-Muwattha’ karangan Imam

Malik bin Anas, dan Imam as-Syafi’e dalam usia 15  tahun telah    pun menghafal

keseluruhan kitab tersebut. Imam as-Syafi’e kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk

berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, yakni Imam Malik bin Anas. Ketika itu

Imam as-Syafi’e baru berumur 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Imam Malik

sehinggalah   kewafatannya pada tahun   179H/796M.   Ketokohan Imam as-Syafi’e

sebagai murid terpintar Imam Malik bin Anas mulai diiktiraf ramai. Imam as-Syafi‘e

mengambil alih sebentar kedudukan Imam Malik bin Anas sebagai guru di Masjid

Nabawi di Madinah sehinggalah beliau ditawarkan satu kedudukan jawatan oleh

Gabenor Yaman. Jawatan Imam as-Syafi’e di Negeri Yaman tidak lama kerana beliau

telah difitnah sebagai pengikut mazhab Syi‘ah. Selain itu pelbagai konspirasi lain 

dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara di Baghdad,

yakni pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.  

Imam as-Syafi’e dibawa menghadap kepada Khalifah Harun ar-Rashid dan  beliau 

berjaya   membuktikan kebenaran dirinya.   Kehandalan   serta   kecekapan Imam

as-Syafi’e membela dirinya dengan pelbagai hujjah agama menyebabkan Harun

ar-Rashid tertarik kepadanya. Imam as-Syafi’e dibebaskan dan dibiarkan bermastautin

di Baghdad. Di sini Imam as-Syafi’e telah berkenalan dengan anak murid Imam Abu

Hanifah dan duduk berguru bersama mereka, terutamanya Muhammad bin al-Hasan

as-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi Imam as-Syafi’e,

iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam,

yakni ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.  

Pada tahun 188H/804M, Imam as-Syafi’e berhijrah pula ke Mesir. Sebelum itu beliau

singgah sebentar di Makkah dan di sana beliau diberi penghormatan dan dipelawa
memberi kelas pengajian agama. Imam as-Syafi’e kini mula diiktiraf sebagai seorang
imam dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup jurang perbezaan di

antara ajaran Imam  Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah.  Usahanya ini tidak

disambut baik oleh para penduduk Makkah kerana kebiasaan mereka adalah kepada

ajaran Imam Malik bin Anas.  

Pada tahun 194H/810M, Imam as-Syafi’e kembali semula ke Baghdad dan beliau 

dipelawa untuk memegang jawatan Qadhi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan

hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Imam as-Syafi’e kemudian kembali ke

Mesir dan memusatkan ajarannya di sana pula. Daud bin ‘Ali pernah ditanya akan

kelebihan Imam as-Syafi’e berbanding tokoh-tokoh lain pada ketika itu, maka beliau

menjawab:  As-Syafi‘e  mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang                     tidak berrkumpul pada orang lain. Beliau seorang bangsawan, beliau mempunyai agama dan

i'tiqad yang sebenar, seorang yang sangat murah hati, mengetahui hadith sahih dan

hadith dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para


Khulafa' ar-Rashidin dan amat pandai pula mengarang."  

Dalam usahanya untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Imam Malik bin
Anas dan Imam Abu Hanifah, Imam as-Syafi’e menghadapi banyak tentangan daripada
para pengikut Mazhab Maliki yang amat taksub kepada guru mereka. Pada satu malam,
dalam perjalanan balik ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, Imam as-Syafi’e
telah diserang dan dipukul orang sehingga menyebabkan kematiannya. Pada ketika itu
Imam as-Syafi’e juga sedang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.  

Imam as-Syafi’e meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir ketika
berumur 54 tahun (Hijriah). Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab
yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul ar-Risalah. Kitab ini adalah yang
terawal dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum daripada sesebuah
nas al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu Imam as-Syafi’e juga meninggalkan kitab
fiqhnya yang termasyhur berjudul al-Umm. Ajaran Imam as-Syafi’e diteruskan oleh
beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yaaqub al-Buwayti (231H/846M),
Rabi’  bin  Sulaiman al-Marali   (270H/884M) dan Abu Ibrahim  bin Yahya al Muzani
(274H/888M).  

Tidak ada komentar: